PAS Parti Yang Pelik

Saturday, February 18, 2017 0 comments
Pertama yang pelik pada PAS ialah PAS dimusuhi oleh kedua-dua belah pihak. PAS dimusuhi oleh pemerintah dan PAS juga dimusuhi oleh blok pembangkang. Apa yang tak kena pada PAS ini? BN serang PAS bermati-matian. Blok pembangkang juga serang PAS siang dan malam. PAS ini dikelilingi oleh musuh. Adakah PAS tak pandai berkawan? Peliklah PAS ini kerana mengelak daripada manusia spesis kawan makan kawan.

Dalam keadaan kawan dan lawan berjuang demi Putrajaya, PAS pula berjuang demi redha Allah. Orang lain kata PAS ini gila kerana berjuang untuk kalah. Yang peliknya, orang gila inilah yang sibuk mencatur gerakan massa. Orang tak gila pula sibuk mencatur kabinet bayangan, Orang gila inilah yang tidak duduk sebelum berlunjur. Orang tak gila pula burung terbang dipipiskan lada.

Yang peliknya, dalam mengharapkan redha Allah, orang PAS-lah yang berjuang pelik-pelik. Orang lain berjuang apabila dihulurkan habuan. Ada duit minyak ada duit tambang. Ada bekal, ada makanan, ada upahan. Orang PAS pula turun ke medan sambil menghulurkan wang. Orang lain berjuang kerana rasa partinya akan menang. Orang PAS berjuang walaupun tahu partinya selalu kalah berjuang.

Peliklah PAS ini. Orang lain berimankan undi non-muslim penentu pemenang. PAS pula beriman dengan pertolongan Allah. Allah kata pertolongan-Nya dekat. Orang PAS yakin kemenangan itu semakin hari semakin dekat walaupun sudah menjangkau puluhan tahun. Inilah peliknya orang PAS. Mereka tak pernah ragu dengan janji Allah.

Orang lain mengangkat pakar yang berkiblatkan akal. PAS pula mengangkat pakar ilmu wahyu. Gahnya orang lain dengan kajian dan data yang bersumberkan hukum akal. PAS tidak. PAS dilihat lekeh kerana bersumberkan hukum wahyu. Orang lain sudah merasakan mereka telah jauh ke depan kerana akal. PAS pula yakin mereka sentiasa ‘evergreen’ kerana selari dengan wahyu.

Ya PAS memang pelik. Orang lain takut menuntut syariah kerana takut hilang sokongan rakyat. PAS tegas dengan Islam. Kamu nak benci, bencilah. Kalau nak kalah, kalahlah. Orang PAS memang pelik. Ketegasannya gila-gila. Keyakinannya gila-gila. Pengorbanannya gila-gila. Kerja pilihanayanya gila-gila. Istiqamahnya gila-gila. Ini pelik orang PAS.

Puncak segala kepelikan ini teringat aku akan hadis Nabi s.a.w. Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w., "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing,pelik). Dan ia akan kembali asing (pelik) pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing (pelik)".

Kredit Upu Pasir Pekan Hilir - ditulis: Salam Muhammad @ BayangDiAir

Arwah TG Nik Aziz Pernah Menolak Pandangan Dr Asri

Tuesday, February 14, 2017 0 comments
KOTA BHARU 21 Sept. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak pandangan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin bahawa situasi di negara ini termasuk di Kelantan masih belum kondusif untuk melaksanakan hukum hudud.

Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan Pas Kelantan sudah menyiapkan asas kukuh untuk pelaksanaan hukum hudud berlandaskan konsep ubudiyah (kepatuhan), itqan (tekun) dan masuliyah (bertanggungjawab) dalam pentadbirannya.

Beliau berkata, penerangan kepada masyarakat juga dibuat berterusan melalui kuliah agama terutama pada setiap hari Jumaat yang turut dikendalikannya dan mendakwa ia mendapat sambutan menggalakkan daripada umum.

Malah, beliau juga mendakwa pelaksanaan program kebajikan oleh kerajaan negeri setakat ini sudah mencukupi untuk menghalang niat sesetengah pihak melakukan perkara yang menjadi kesalahan dalam peruntukan hudud akibat desakan kewangan.

"Kami buat bermacam-macam projek, Al-It'am (kupon beras percuma), Az-Ziwaj (bantuan perkahwinan), Ladang Rakyat, bantuan armalah (ibu tunggal) dan sebagainya.

"Ini semua persiapan untuk membolehkan rakyat berasa tidak perlu lagi mencuri, menipu dan merompak. Kalau merompak juga, itu jahat maknanya. Jadi asas yang kondusif ini sudah cukup kemas di Kelantan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Pas Kelantan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pandangan Mohd. Asri semalam yang menyifatkan sekarang bukan masa yang sesuai untuk pelaksanaan hudud dan perkara paling penting adalah mempromosikan perkara itu dengan cara yang positif terlebih dahulu.

Mohd. Asri berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Hudud: Suatu Perbincangan-Tanggapan, Suasana dan Keberkesanan pada Majlis Sambutan Hari Hududullah di Balai Islam Lundang di sini semalam.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, Kelantan juga sudah mempunyai kemudahan untuk tujuan itu, malah badan kehakiman syariah sedia ada sudah mempunyai kepakaran dan ilmu untuk melaksanakan hukum hudud.

"Pihak yang akan melaksanakan hukum ini bukannya orang politik, tetapi hakim yang akan menjatuhkan hukuman, prosedur dan peraturan cukup lengkap. Mereka mempunyai ilmu dalam fikah yang cukup kemas, pandailah mereka melaksanakannya," katanya.

Ketika ditanya kedudukan parti lain dalam pihak pembangkang yang berkemungkinan besar tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud di negeri ini, beliau menjawap: "Itu kita kena tanya dia sebab apa tak setuju."

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz dukacita dengan peristiwa pengeboman di Sungai Golok, Thailand baru-baru ini yang mengakibatkan kematian empat rakyat Malaysia termasuk dua mangsa dari Kelantan.

"Saya dukacita jugalah, kedai kopi di sini banyak, restoran banyak, kenapa hendak pergi juga ke sana," katanya.



Tuan Mufti Perlis, Mengapa Terus Terkeliru?

0 comments
Tuan Mufti Perlis, Mengapa Terus Terkeliru.?

1. Saya meneliti sehingga habis kenyataan terbaru Dr MAZA di FB nya yang bertajuk "Apakah Yang Mengelirukan?". Walaupun tidak secara terang menyebut nama PAS namun, secara umumnya kita faham artikel itu sememangnya ditujukan khusus kepada PAS.

2. Elok juga kita bantu memahamkan Tuan Mufti yang sedang terkeliru ini agar dirinya tidak berterusan terkeliru dan mengelirukan ummat.  Aneh bukan.? Dalam keadaan ramai Mufti yang menyokong pindaan Akta 355, Mufti Perlis memilih jalan mencipta 1001 alasan dan dalih sehingga kita pun tidak pasti pendirian dirinya samada "setuju atau tidak".?

3. Dalam artikel Dr MAZA itu, beliau menyerang PAS dalam hal;
a) " ada golongan yang tidak dapat melihat Islam melainkan asyik tertumpu kepada isu hudud."
b) "sebenarnya yang mengelirukan itu ialah apabila agama dipolitikkan. Ataupun akidah umat dijadikan taruhan politik."
c) "mengkafirkan orang yang berbeza parti sehingga ada yang bercerai berai, tidak makanan sembelihan, solat dua imam, bahkan sehingga ada yang mati terkorban kononnya syahid menentang berbeza parti."
d) "apabila ketika anda memenangi beberapa negeri dahulu anda menyatakan hudud bukan keutamaan"
e) "janganlah mempolitikkan agama yang luhur ini."

4. Buat kesekian kalinya dipertegaskan di sini, PAS tidak pernah beriman kepada fahaman "politik suku, agama suku". PAS tidak menjadikan ideologi sekularisme, liberalisme mahupun sosialisme sebagai dasar perjuangan PAS.

Intipati dan dasar perjuangan PAS ialah ISLAM yang syumul dalam segenap aspek kehidupan. 
Semenjak PAS ditubuh pada tahun 1951 sehinggalah sekarang usianya mencecah 66 tahun, PAS tidak mengubah prinsip perjuangannya seperti termaktub dalam Perlembagaan PAS.

FASAL 3: "Dasar PAS ialah ISLAM"
FASAL 5:  Tujuan PAS ialah:
i) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
ii) Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

FASAL 6. Usaha-usaha
i) Menyeru umat manusia kepada Syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.
ii) Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari‟at serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan

5. PAS merentasi arus perjuangan yang penuh liku dan onak duri. PAS tidak pernah berubah dasar dan hala tujunya. 
Yang berubah hanyalah pertukaran kepimpinan dan orientasi pendekatan agar menepati realiti semasa. Ada masa PAS bersendiri, ada masa bergabung dengan parti pembangkang lain dan pernah sekali dalam sejarah, PAS bersama parti UMNO-BN memerintah Malaysia ini.
Dalam banyak keadaan, PAS sentiasa ditekan dan dizalimi oleh parti seteru utamanya iaitu UMNO khususnya pada era pemerintahan Tun Mahathir, tokoh idola sanjungan Dr MAZA.

6. Dr MAZA kata PAS hanya tumpu isu Hudud sahaja.
Beliau berpandangan hukuman seperti potong tangan pencuri, rejam dengan batu penzina, pancung orang yang dituduh murtad belum kondusif untuk dilaksanakan kerana semua hukuman itu memerlukan suasana, syarat dan ijtihad yang lebih luas. 
Katanya lagi, kita perlu utamakan urustadbir yang baik berbanding pelaksanaan hukum.

Soalannya mudah sahaja;

Adakah pindaan Akta 355 ini undang-undang Hudud.? 
Bolehkah Tuan Mufti tunjukkan di mana dalam teks usul yang dibentang oleh YB Marang di Parlimen yang mengatakan kita hendak laksanakan hukuman potong tangan, rejam dan pancung itu.?
Sememangnya tidak ada pun. Jadi, mengapa Dr MAZA mahu kelirukan orang lain.?

7. Dr MAZA menuduh PAS mempolitikkan agama dan menjadikan akidah ummat sebagai taruhan. Lalu diungkit kembali isu "Amanat Haji Hadi".
Dulu UMNO sering guna modal ini untuk serang PAS.
Tak sangka pula modal lapuk ini digunapakai oleh Tuan Mufti pula. 
Tidak dinafikan dalam mana-mana kumpulan akan ada yang ekstrem dan melampau.
Yang salahnya, perjuangan itu atau yang melampau itu.?
Contohnya, kumpulan ISIS yang mendakwa mereka pejuang Islam. 
Mereka kelompok pelampau yang menyimpang dan bertindak bercanggah dengan Islam. Yang salah adalah mereka yang melampau, Islam tidak wajar dipersalahkan sepertimana yang sering Donald Trump jadikan alasan untuk serang Islam.

8. Dalam PAS, tidak kurangnya alim ulamak yang faham mengenai Fiqh al-Ikhtilaf (Fikah perbezaan), Fiqh al-Muwazanat (Fikah keseimbangan), Fiqh al-Nusus (Fikah nas-nas syarak), Fiqh al-Awlawiyat (Fikah keutamaan), Fiqh al-Waqi’ (Fikah realiti semasa) dan Fiqh al-Taghir (Fikah perubahan). 
Para Ulamak ini walaupun tidak bergelar Mufti dan bertitle PhD, merekalah yang memandu perjalanan PAS agar tidak tergelincir daripada landasan syarak.

PAS bukan sahaja berteori tetapi mempraktikkan konsep "tadarruj" iaitu berperingkat dalam pelaksanaan. 
Dr MAZA bercakap seolah seandainya PAS menang hari ini, esok terus Hudud dilaksanakan seluruh Malaysia. Habis ramai yang akan dipotong tangan, direjam dan dipancung...!!! 
Mengapa Dr MAZA bercakap seperti suara kelompok liberal yang begitu suka menjadikan "hudud" sebagai alat menakutkan orang ramai kepada Islam.?

9. PAS berusaha untuk meminda Akta 355 ini kerana ia adalah kunci utama bagi mengangkat martabat Mahkamah Syariah di seluruh negara ini.

Adakah usaha untuk memberikan kuasa kepada Hakim Mahkamah Syariah agar lebih tinggi daripada Majistret (mahkamah terendah dalam sistem Mahkamah Sivil) ini memerlukan kondusif suasana terlebih dahulu.?
Kali terakhir Akta 355 ini dipinda ialah pada tahun 1984 iaitu 33 tahun yang lalu. 
Adakah kita kena tunggu cukup 100 tahun baru boleh mencapai tahap kondusif idaman Dr MAZA baru boleh dipinda undang-undang ini.?

10. PAS tetap berusaha memperjuangkan pelaksanaan syariat Islam di tanah air ini walau dikeji, diperli dan difitnah macam-macam daripada segenap penjuru. 
Samada Dr MAZA mahu menyokong atau tidak, PAS tetap terus bergerak ke depan. 
Kita berharap agar Dr MAZA dan yang seangkatan dengannya tidak sekadar menjadi pengkritik tegar di tepian gelanggang, hanya tahu mempertikai dan memperlekeh usaha orang lain.
Kita juga mahu bertanya, "kalau dah semua yang PAS buat tak betul daripada kacamata Tuan Mufti, maka apa pula usaha Tuan Mufti dalam mengangkat martabat Mahkamah Syariah.?"

Catatan oleh, 
Syed Ahmad Fadhli 
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS 
14 Februari 2017

Terima Segala Posting Terbaru dari ATOK Melalui Facebook...